fbpx
376679704_708025521367895_8472870340212181421_n

Zakat Perniagaan

Kira Zakat Perniagaan

Zakat Perniagaan Individu

Step 1 of 3

Zakat Perniagaan Syarikat/Organisasi

Step 1 of 3

Penerangan

Zakat Perniagaan

Aktiviti perniagaan merupakan salah satu cara beroleh pendapatan jadi ia boleh dikenakan zakat perniagaan. Pada dasarnya, ianya tidak jauh beza daripada zakat pendapatan, di mana ianya dikenakan ke atas para peniaga dan usahawan, manakala zakat pendapatan pula lazimnya untuk mereka yang bekerja makan gaji. Namun, perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua kategori ini adalah bagaimana cara kiraannya masing-masing. Cara pengiraannya berbeza kerana melibatkan syarikat serta cara operasi perniagaan tersebut. Mari ketahui dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara ini. 

Apa Itu Zakat Perniagaan?

Zakat perniagaan merupakan zakat yang perlu dibayar berdasarkan hasil atau pendapatan daripada aktiviti perniagaan. Aktiviti perniagaan ini termasuk pelbagai bidang dan industri seperti perniagaan berasaskan pembuatan, perkhidmatan, jual beli barangan, perlombongan, pertanian, perladangan, perkapalan, logistik, pembekalan, pengedaran dan sebagainya.

Sementara itu, bentuk perniagaan yang dikenakan zakat termasuk perniagaan persendirian, perkongsian, dan malahan perniagaan perkongsian dengan rakan kongsi bukan Islam. Semua jenis syarikat, koperasi, gerai, perniagaan atas talian, perniagaan saham, dan apa sahaja aktiviti yang melibatkan pertukaran wang untuk barangan atau perkhidmatan dikira sebagai perniagaan dan perlu membayar zakat jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.  

Kelebihan Membayar Zakat Perniagaan

Indahnya membayar zakat, tidak kira apa jenis zakat sekalipun, adalah bagaimana ianya amalan yang menyempurnakan ibadah kita kepada Allah SWT, dan juga membolehkan kita bantu-membantu sesama manusia. Ia bagaikan dua kali ganda kelebihan yang dirasai hasil daripada menunaikan tanggungjawab ini. 

Secara spesifik pula, terdapat beberapa kelebihan kepada amalan membayar zakat perniagaan secara khususnya. Antaranya termasuk:-

  • Membersihkan hasil perniagaan daripada segala unsur tersalah timbang atau tersalah kira yang mungkin tidak kita sedari semasa melakukannya 
  • Menimbulkan rasa bersyukur ke atas rezeki yang dikurniakan pada perniagaan kita
  • Juga menjadi dorongan untuk berusaha dengan lebih kuat lagi setelah diteliti hasil perniagaan pada sesuatu tahun, semoga dapat menyumbang dengan lebih banyak lagi kepada ummah dan masyarakat
  • Rasa berpuas hati kerana dapat membantu golongan asnaf serta membantu membangunkan masyarakat hasil daripada sumbangan dan bayaran kita 
  • Meningkatkan taqwa kepada Allah SWT kerana dapat melihat sendiri bahawa membelanjakan harta ke jalan Allah tidak akan merugikan harta dan perniagaan 
  • Dan banyak lagi kelebihan lain membayar zakat yang mungkin tidak kita sedari 

Soalan Lazim

Terdapat beberapa dalil yang merujuk kepada kewajiban membayar zakat perniagaan. Antaranya termasuk seperti yang berikut.

Firman Allah SWT:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” [Surah Al-Nur (24): 37]

Firman ini jelas menunjukkan bahawa orang yang beriman tidak akan lalai daripada membayar sebahagian daripada hasil keuntungan perniagaan atau aktiviti jual beli yang menjadi rezeki kita.

Sementara itu, terdapat juga hadith Nabi yang menyentuh perkara ini.

Salah satunya, Samurah bin Jundub menyatakan: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan kami untuk mengeluarkan sedekah (zakat) daripada apa yang kami persiapkan untuk diperniagakan.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Hadith ini ternyata merujuk kepada zakat perniagaan serta aktiviti perniagaan.

Anas RA meriwayatkan bahawa Abu Bakar RA menetapkan baginya apa yang difardhukan oleh Rasulullah SAW:

“Dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing)”.[HR Bukhari]

Hadith di atas bukan sahaja menunjukkan akan kewajiban membayar zakat, malahan boleh dijadikan rujukan untuk peniaga yang mempunyai rakan kongsi bukan Islam. Ternyata, kadar zakat perniagaan yang dibayar adalah bergantung kepada bahagian masing-masing, serta kemampuan masing-masing.

Kondisi-kondisi yang mewajibkan pembayaran bagi individu adalah seperti berikut:-

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Sempurna milik ke atas perniagaan
  4. Mencapai nisab
  5. Mencapai haul – iaitu cukup tempoh selama setahun
  6. Barangan itu diniatkan untuk perniagaan
  7. Perniagaan itu mestilah mematuhi hukum syarak

Bagi perniagaan yang haram dari sisi Islam seperti menjual arak, berjudi dan sebagainya adalah tidak wajib untuk dizakatkan. 

Tentunya cara mengira zakat perniagaan ada perbezaan dengan zakat pendapatan disebabkan beberapa faktor seperti pekerja dan kos bahan atau barangan. 

Secara amnya, cara mengira bayaran yang perlu dibuat adalah seperti berikut:

  1. Pendapatan tunai (termasuk di bank) & modal + Nilai inventori + Nilai kredit (seperti pinjaman perniagaan) – Perbelanjaan & hutang perniagaan = Baki
  2. Baki daripada pengiraan di atas, jika ia mencukupi nilai nisab (atau melebihinya) kemudian didarab dengan kadar 2.5%. Jumlah ini merupakan jumlah yang perlu dibayar. 

Untuk rujukan am, terma-terma berikut dijelaskan maksudnya:-

Inventori: Stok barangan termasuk bahan mentah dan barangan untuk jualan 

Perbelanjaan: Termasuk gaji pekerja, bayaran sewa pejabat atau tapak jualan, bil elektrik dan sebagainya

Nisab zakat perniagaan ditetapkan pada kadar 2.5% daripada keuntungan bersih setahun, iaitu setelah tamat tempoh haul. Nisab ini adalah berdasarkan nilai 85 gram emas, yang dianggarkan bersamaan dengan nilai RM21,432 pada kemas kini terakhir, iaitu pada Julai-Disember 2022. Bagaimana pun, perlu diambil kira bahawa nilai ini bergantung kepada kadar emas semasa. Untuk pengetahuan, kadar nisab zakat berdasarkan nilai perak pula adalah tertakluk kepada 595 gram perak. 

Oleh itu, jika keuntungan dan nilai aset perniagaan anda mencapai atau melebihi RM21,432 ini, wajib dikenakan zakat perniagaan ke atasnya setelah cukup haul. Biasanya, kebanyakan peniaga atau pemilik syarikat mengira haul bermula daripada bulan Januari hingga bulan Disember. Kiraan ini menyenangkan pengiraan untuk tolak jumlah yang perlu dibayar daripada pengiraan cukai pendapatan atau cukai perniagaan bagi tahun tersebut. 

Namun, disarankan bagi pembayar zakat yang mengikuti kalendar Masihi (iaitu Januari hingga Disember) agar mengikut kiraan yang telah ditetapkan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI), di mana nisab dikira sebanyak 2.577%. Ini kerana jumlah hari dalam satu tahun mengikut kalendar Masihi adalah lebih banyak berbanding setahun mengikut kalendar Hijriah. Dalam mencari rezeki, kita perlu menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya jadi adalah elok jika kita jujur dalam mengira kadar dan nisab zakat, terutama sekali bila membayar zakat perniagaan. 

Zakat perniagaan boleh dibayar dengan mana-mana pemungut zakat di tempat anda bermastautin. Ia juga boleh dibayar secara atas talian dengan cara mengisi borang di atas. 

Selamat menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan.